Sejarah awal
Ayahnya, Gadla Henry Mphakanyiswa, merupakan Penasihat Pengadilan Tinggi
di Thembuland di bawah pemimpin tertinggi David Dalindyebo. Selepas
ayahnya meninggal dunia, Mandela dibimbing oleh pemimpin tertinggi dan
dididik untuk menjadi seorang pemimpin.
Mandela menamatkan pendidikan menengahnya di Healdtown Methodist
Boarding School dan mendapatkan ijazah sarjana muda di bidang perniagaan
di Universiti Fort Hare. Sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (SRC)
dia bersama dengan mendiang Oliver Tambo pernah menentang aparteid
dengan mogok pelajar meski akhirnya dibuang dari universiti tersebut
pada tahun 1940. Dia kemudian melanjutkan pendidikan melalui program
jarak jauh di University of South Africa (UNISA) di Johannesburg.
Setelah mendapat ijazah dalam bidang perniagaan, dia mendaftar dalam
program LLB (Sarjana Muda Undang-Undang) di University Witwatersrand.
Pembentukan Liga Pemuda ANC
Pada tahun 1944 Mandela membentuk Liga Pemuda Kongres Kebangsaan Afrika
(ANC Youth League), di mana program kegiatannya telah ditetapkan oleh
parti ANC pada tahun 1949. Mandela dilantik Ketua Sukarela Kebangsaan
untuk program yang dikenal sebagai Kempen Penentangan (Defiance
Campaign) pada 1952. Dia telah menjelajah satu negara dalam mengobarkan
semangat penentangan terhadap undang-undang aparteid. Pada tahun itu
juga, Mandela bersama Tambo menubuhkan firma guaman kulit hitam yang
pertama di Afrika Selatan, dengan tujuan membantu kaum kulit hitam yang
ditindas oleh undang-undang kejam kaum kulit putih.
Penahanan Nelson Mandela
Parti ANC diharamkan selepas pemberontakan di Sharpeville pada tahun
1960, dan Mandela sebagai tokohnya ditangkap dan dipenjarakan pada tahun
1961. Namun semangat perjuangannya tidak padam begitu saja. Mandela
masih meneruskan perjuangannya dan menjalankan aktiviti bawah tanah
sambil memimpin organisasi menuntut kehidupan kebangsaan yang baru,
bebas daripada pengaruh aparteid.
Umkhonto we Sizwe (MK), sayap militer parti ANC dibentuk pada tahun yang
sama dengan Mandela sebagai pemerintah tertingginya. Di bawah
pimpinannya, dia melancarkan sabotaj terhadap pemerintahan dan ekonomi
negara. Setahun kemudian, Mandela meninggalkan tanah airnya untuk
mendalami latihan ketenteraan di Algeria dan mengadakan latihan untuk
ahli-ahli MK yang lain.
Setelah dia kembali, dia terus ditahan dengan alasan meninggalkan negara
secara haram dan mengobarkan semangat rakyat untuk bermogok. Dia
didakwa bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama lima tahun pada
bulan November 1962. Sewaktu di penjara, dia didakwa dalam perbicaraan
Rivonia , atas tuduhan melakukan sabotaj dan dipenjarakan seumur hidup.
Penjara yang diduduki Nelson Mandela di Robben Island
Sedekad sebelum dipenjarakan, Mandela telah membidas pengenalan program
Pendidikan Bantu, dan mencadangkan semua aktivis masyarakat menjadikan
"setiap rumah, setiap pondok atau setiap struktur yang usang menjadi
pusat ilmu".
Pulau Robben, di mana dia dipenjarakan, telah dijadikan pusat
perkembangan ilmu, dan Mandela merupakan orang utama mengadakan kelas
pendidikan politik. Sewaktu dipenjara, Mandela tidak pernah
mengkompromikan prinsip politiknya dan menjadi sumber kekuatan
banduan-banduan yang lain.
Pada tahun 70-an, dia menolak tawaran pengurangan hukumannya sekiranya
dia mengiktiraf Transkei sebagai sebuah penempatan (settlement) dan
bersetuju untuk tinggal di sana. Manakala pada 1980-an, dia enggan
menerima tawaran Presiden Botha untuk membebaskannya dari penjara
sekiranya dia menolak keganasan.
Berakhirnya aparteid
Setelah menolak beberapa tawaran bersyarat rejim Afrika Selatan, Mandela
akhirnya dibebaskan pada 11 Februari 1990. Akibat tentangan hebat parti
ANC dan tekanan antarabangsa, Presiden F.W. de Klerk terpaksa akur dan
membebaskan semua tahanan politik termasuk Mandela dan juga mengakhirkan
pengharaman parti ANC.
Pada 10 Mei 1994, Nelson Mandela dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama di Afrika Selatan.
Kematian
Setelah lama sakit, Mandela meninggal dunia akibat jangkitan peparu pada
5 Disember 2013 di rumahnya di Houghton, Johannesburg.[2] Kematian
beliau diumumkan Presiden Jacob Zuma.Beliau dijangka dikebumikan selepas
12 hari.